Seminar & Bengkel Penyusuan Cetusan
Pusat Laktasi Kebangsaan dengan kerjasama Persatuan Penyokong Penyusuan Ibu Terengganu (PERSINT) telah menganjurkan Bengkel Penyusuan Cetusan pada 18-19 Mac 2016 bertempat di Felda Residence Hotel, Kuala Terengganu. Bengkel ini merupakan kali pertama diadakan kerana permintaan yang tinggi daripada kaunselor laktasi. Penyusuan cetusan merupakan kaedah yang digunakan untuk meransang penghasilan susu bagi ibu yang mengambil anak angkat, dimana mereka tidak pernah mengalami proses mengandung dan menyusukan anak. Program selama 2 hari ini telah dihadiri oleh 47 orang kaunselor laktasi dari seluruh Malaysia. Para peserta telah diberikan pendedahan tentang prosedur dan maklumat-maklumat penting tentang penyusuan cetusan menerusi seminar tentang topik-topik yang berkaitan. Mereka juga telah dibahagikan kepada 5 buah kumpulan dengan bantuan fasilitator yang berpengalaman bagi menjalankan sesi praktikal dengan lebih berkesan.
Pre-Congress of 23rd Regional Congress of Perinatal Society of Malaysia: Breastfeeding in Abnormal Babies
Pada 21 April 2016 telah berlangsungnya Pre-Congress: Breastfeeding in Abnormal Babies, sempena 23rd Regional Congress of Perinatal Society of Malaysia. Ia merupakan acara anjuran bersama Pusat Laktasi Kebangsaan dan Perinatal Society of Malaysia dan telah berlangsung di The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur. Acara ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan, dimana seramai hampir 250 orang peserta yang terdiri daripada professional kesihatan, anggota kesihatan dan beberapa orang pelajar telah menghadiri program separuh hari ini. Beberapa Ketua Eksekutif Zon Pusat Laktasi Kebangsaan turut hadir menyumbang tenaga dan kepakaran mereka seperti Dr. Adam Sapran bertindak sebagai Pengacara Majlis, Dato’ Dr. Zuraidah Latif dan Dr. Yogeswary sebagai penceramah dan Dr. Sharmini Diana merupakan penganjur bersama. Pelbagai topik seminar yang sangat menarik telah dibentangkan oleh para penceramah yang sangat berpengalaman dalam bidang kesihatan bayi dan kanak-kanak serta penyusuan susu ibu.
Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Hospital Selayang
Bersempena dengan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu peringkat Pusat Laktasi Kebangsaan, satu forum penyusuan telah diadakan pada 2 Ogos 201 bertempat di Ruang Legar Lobi Utama, Hospital Selayang. Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Hospital Selayang, Dr. Hajah Siti Zaleha. Forum yang bertajuk Cabaran dalam Mengekalkan Penyusuan Ibu adalah selari dengan tema Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2016 iaitu Breastfeeding: A Key to Sustainable Development. Program ini merupakan kerjasama antara Pusat Laktasi Kebangsaan dan Jawatankuasa Hospital Rakan Bayi Hospital Selayang. Seramai 224 orang peserta yang terdiri daripada anggota kesihatan dan ibu-ibu dari negeri Selangor telah hadir ke forum ini.
Konvensyen Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Peringkat Kebangsaan 2016
Pada 18-19 November 2016 telah berlangsungnya 3rd National Breastfeeding Support Group Convention bertempat di Auditorium Menara Selatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya. Program anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya, Persatuan Pendidikan Pusat Laktasi WCH dan Dr Nurhaya Lactation Centre ini adalah kali ketiga diadakan yang menghimpunkan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu di seluruh Malaysia. Konvensyen ini telah dihadiri seramai 300 orang peserta dan telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Hilmi bin Haji Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang konvensyen berlangsung adalah pertandingan Poster Presentation Kumpulan Sokongan Terbaik, pertandingan Booth Pameran Kumpulan Sokongan Terbaik, Ceramah perdana, seminar dan forum, serta Bengkel, cabutan bertuah dan booth jualan.