Seminar sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Pusat Laktasi Kebangsaan
Bersempena dengan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu peringkat Pusat Laktasi Kebangsaan, satu seminar penyusuan telah diadakan pada 6 Ogos 2015 bertempat di Auditorium Hospital Selayang. Seminar yang bertajuk Penyusuan Susu Ibu dan Wanita Bekerja adalah selari dengan tema Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015 iaitu Breastfeeding & Work: Let’s Make It Work. Program ini merupakan kerjasama antara Pusat Laktasi Kebangsaan dan Jawatankuasa Hospital Rakan Bayi Hospital Selayang. Seramai 141 orang peserta yang terdiri daripada anggota kesihatan dan ibu-ibu dari seluruh Malaysia telah hadir ke seminar ini.
2nd National Breastfeeding Support Group Convention
Pada 5-6 Disember 2015 telah berlangsungnya 2nd National Breastfeeding Support Group Convention di Auditorium Institut Sosial Malaysia. Program anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan ini adalah julung-julung kali diadakan yang menghimpunkan kebanyakkan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu di seluruh Malaysia. Konvensyen ini telah dihadiri oleh 350 orang peserta dan telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Laktasi Kebangsaan, Dr. Noor Haliza Yussoff. Anugerah bagi Pusat Sokongan Penyusuan Terbaik telah disampaikan kepada empat buah pusat sokongan penyusuan yang layak bagi menghargai segala sumbangan dan kerja keras mereka dalam usaha membantu ibu-ibu dalam hal-hal berkaitan penyusuan dan diharap dapat memberi suntikan semangat kepada yang lain untuk turut sama memartabatkan penyusuan susu ibu. Empat pusat sokongan tersebut adalah CT Women Breastfeeding Support Group Centre, Susuibu.com, Ana Edar Sdn. Bhd. dan Enjoy Breastfeeding Centre. Selain daripada seminar, turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan pameran poster, cabutan bertuah dan booth jualan.
3rd National Lactation Conference
Pada tahun ini, 3rd National Lactation Conference telah diadakan di Bella Vista Resort & Spa, Langkawi yang berlangsung selama 4 hari iaitu pada 1-4 Oktober 2015. Seramai 350 orang peserta terdiri daripada anggota kesihatan dan beberapa ibu dari kalangan orang awam dari seluruh Malaysia telah menghadiri konferens ini. Tema konferens tahun ini ialah Breastfeeding & Work: Anywhere, Anytime, Anyhow. Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Ketua Wanita Umno Langkawi, Puan Hisham Suhaili, sekaligus merasmikan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Pusat Laktasi Kebangsaan. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti seminar tentang penyusuan dan motivasi, forum, pameran poster, booth jualan dan makan malam. Makan malam yang berlangsung pada malam terakhir konferens bertemakan Back to Nature: Flora & Fauna. Ia telah dimeriahkan dengan persembahan para peserta yang menyarung busana yang mengikut tema. Lain-lain acara yang diadakan pada malam tersebut ialah cabutan bertuah dan karaoke. Majlis juga diselitkan dengan meraikan perpisahan Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia Puan Rokiah Don yang akan bersara pada Januari 2016. Pada hari terakhir konferens, peserta-peserta telah dibawa melawat Klinik Kesihatan Kuah dan Hospital Langkawi bagi melihat sendiri bagaimana Inisiatif Hospital/Klinik Rakan Bayi diimplemen di hospital dan klinik supaya mereka dapat melaksanakannya ditempat masing-masing.